Tuesday, May 6, 2008

Sudah tiba waktunya UMNO memerlukan sumbangan kita

Sudah tiba masanya pemimpin UMNO mengambil tanggungjawab sebagai ahli yang cinta dan sayangkan UMNO dan jangan menyerahkan segala bebanan ini hanya kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri sepatutnya tidak lagi dibebani dengan masalah dalaman UMNO yang seharusnya dipikul oleh Ahli Majlis Tertinggi , ketua-ketua cawangan ,AJK Bahagian , Ketua Bahagian,wakil-wakil rakyat UMNO.

Seharusnya ketika ini Perdana Menteri dan timbalannya diberikan peluang untuk memikirkan dan merancang pentadbiran negara dan membangunkan negara. Sekiranya Perdana Menteri dibebankan dengan masalah dalaman ini , rakyat akan kerugian dan rakyat akan hidup tanpa kemajuan.

Inilah masanya kita perlu berkorban dan bertekad untuk membantu UMNO dan melakukan deligasi tugasan secara bijak agar penagihan tanggungjawab ini menjadi menyeluruh. Jika kita sayangkan UMNO dan jika kita sayangkan bangsa , inilah masanya kita seharusnya memberikan sumbangan tanpa memikirkan imbuhan dan pulangan.

Sekiranya setiap ahli UMNO memberikan komitment dan memainkan peranan masing-masing insyaalah kita akan dapat merawat kembali UMNO yang sedang menghadapi masalah ini.Kita jangan jadi seperti bidalan Melayu, Kacang Lupakan Kulit. Waktu UMNO senang , semua mendampingi UMNO dan menikmati kemewahan yang boleh UMNO berikan, bila UMNO bermasalah kita lari meninggalkan UMNO dan mahu memusnahkan lagi parti keramat ini.

Melayu jangan mudah lupa,usah ditanya apakah sumbangan UMNO kepada kita kerana jasa dan sumbangan UMNO terhadap orang Melayu tidak perlu kita pertikaikan lagi .

Jika , nenek moyang kita bergadai bergolok dan bergadai nyawa untuk memperjuangkan hak orang-orang Melayu melalui UMNO hanya kerana mahu melihat warisan dan anak cucu mereka menikmati kemewahan dan keselesaan dalam negara sendiri , mengapa harus kita kuburkan dan isa-siakan titik peluh dan percikan darah nenek moyang kita.dan pengorbanan mereka .

Kini tiba pula giliran kita untuk mempertahankan UMNO ketika UMNO mengalami kemelut dan masalah. Janganlah hanya kita melihat sesuatu yang baru yang belum kita kenal hati budi dan hanya kerana marah kan nyamuk , kelambu kita bakar. Tahukah kita …….. setelah kita bakar kelambu disebab nyamuk seekor, ada banyak lagi nyamuk-nyamuk yang berbisa di luar kelambu itu.

Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.