Thursday, May 8, 2008

Dr M tidak tahu isu sebenar, kata MP Sabah


Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berhak untuk bercakap mengenai politik di Sabah dan Sarawak, kata seorang ahli parlimen Sabah hari ini.


"Saya tidak tahu persepsi Tun mengenai politik Sabah dan Sarawak. Beliau sudah tidak tahu isu-isu sebenar," kata ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.


"Kenyataan Tun itu bukan keutamaan, kerana ia boleh disifatkan sebagai kenyataan peribadi atau pandangan dari pemerhati politik sahaja, " katanya ketika ditemui Malaysiakini di bangunan parlimen hari ini.


Beliau yang juga setiausaha Pemuda Umno Malaysia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai kemungkinan ahli-ahli parlimen di negeri tersebut melompat menyertai Pakatan Rakyat.


"Jangan gelabah sangat, tiada apa yang perlu dirisaukan. Ahli parlimen Sabah setia kepada BN dan mereka juga faham konsep persekutuan (Malaysia)."


Saya pernah mendapat panggilan telefon dan SMS dari orang yang tidak dikenali supaya menyertai PKR tetapi saya buang sahaja.


"Buat apa saya masuk PKR selagi rohnya, kekuatannya hanya bergantung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," tegasnya lagi.


Abdul Rahman berkata, tiada sebab untuk ahli parlimen BN di Sabah dan Sarawak melompat parti kerana mereka perlu berbangga menjadi kekuatan kepada BN.


Baiki keutamaan


"Bagaimanapun, katanya, melompat parti berlaku di merata tempat dan walaupun ia perbuatan keji tetapi ia masih amalan demokrasi.Menurutnya, kedudukan rakyat dan kerajaan Sabah dan Sarawak lebih terjamin di bawah BN kerana ia telah membawa sistem kongsi kuasa yang telah diuji."


Apa yang perlu BN buat ialah memperbaiki keutamaan dasar dan mengadakan model politik baru dengan mengambil kira kekuatan BN di kedua-dua negeri itu.


"Saya tidak mempertikaikan jumlah pembangunan di Sabah tetapi perlulah diiringi dengan bentuk penyertaan yang bermakna."Bukan sahaja dalam kabinet tetapi juga bidang-bidang lain termasuk jumlah kakitangan dalam sektor awam," katanya lagi.


Abdul Rahman berkata, Sabah dan Sarawak adalah tunjang kekuatan kepada pembentukan kerajaan BN dan ia adalah realiti yang tidak boleh dinafikan.


Katanya, pemimpin atasan BN tahu hal ini dan soal ahli parlimen kedua-dua negeri itu meluahkan rasa hati, adalah perkara biasa.Beliau berkata, rakyat Sabah dan Sarawak, hendak melihat apa yang BN hendak buat di kedua-dua negeri tersebut.
sumber Malaysiakini